Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang akan bersara daripada politik jika pakatan pembangkang yang dipimpinnya gagal merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengakuan itu dibuat dalam satu wawancara disiarkan akhbar Financial Times.
Anwar, 65, berkata, selepas bersara, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik – mengajar.
Namun Ketua Pembangkang di Parlimen itu tidak pula menyatakan sama ada akan mengajar di dalam atau di luar negara.
Anwar pernah jadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.
Sebelum dibawa menyertai Umno pada 1982 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu Perdana Menteri keempat, Anwar adalah pengasas dan tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur selain bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Umno tahun itu. Kedua-dua jawatan itu disandangnya sehingga dipecat pada 1998.
Dalam wawancara itu, Anwar mengaku sudah penat berusaha menawan Kerajaan Pusat sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia.
"Kami mempersembahkan manifesto, polisi dan sudah tentu jika kami mendapat mandat rakyat, saya akan teruskan. Jika tidak berjaya saya fikir mahu kembali mengajar," katanya.
Kenyataan Anwar itu sudah tentu mengejutkan banyak pihak, dalam dan luar pakatan pembangkang terutama kerana ia disuarakan ketika negara sedang menunggu Parlimen dibubarkan.
Anwar yang ketika ini difahamkan berada di luar negara tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kenyataannya itu. Beliau bagaimanapun dijadualkan akan menghadiri satu program di Selayang hujung minggu ini.
Pada PRU12, kerjasama part-parti pembangkang diterajui Anwar mencatat sejarah besar dalam arena politik negara apabila berjaya meleburkan rekod penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat oleh Barisan Nasional (BN).
Kerjasama itu membawa kepada pembentukan Pakatan Rakyat (PR).
Kerjasama itu juga menumbangkan BN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990.
Pada pilihan raya kecil Ogos 2008, Anwar bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan dipilih sebagai Ketua Pembangkang.
Pada 16 September 2008, Anwar mengaku mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang cukup untuk menumbangkan kerajaan BN, namun ternyata ia tidak berlaku, sebaliknya beberapa wakil rakyat PR pula menyertai BN.
Kemudian, pada perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu, pelbagai pihak menuduh Anwar cuba merampas kuasa dengan mengadakan rusuhan jalanan ala kebangkitan Arab Spring, namun tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pemimpin PR.
Anwar dan beberapa lagi pemimpin PKR telah dikenakan beberapa tuduhan berkenaan Bersih 3.0 dan jika didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, sekali gus statusnya sebagai wakil rakyat gugur.
0 Response to "Blog Berita Online: Anwar ucap ‘selamat tinggal’ jika gagal PRU13"
Post a Comment