Lebih 10 restoran dan kedai kopi yang beroperasi di ladang kelapa sawit di sekitar daerah Manjung layak digelar ‘premis berahi’ apabila bukan sahaja menyediakan wanita warga asing sebagai pelayan, malah pelanggan boleh membawa pulang wanita itu sebagai teman seks.
Lebih membimbangkan, kegiatan itu sukar dikesan pihak berkuasa berikutan premis itu beroperasi jauh terpencil di dalam ladang kelapa sawit iaitu kira-kira satu kilometer dari jalan utama.
Difahamkan, pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan turut berpeluang membawa pulang pelayan warga asing berkenaan dengan bayaran berpatutan sejurus menjamu selera di premis berkenaan.
Sejak beberapa bulan lalu, restoran yang menyediakan makanan laut itu kerap menerima kunjungan terutama dari penduduk tempatan yang ingin mencari pelayan pelanggan warga asing untuk memuaskan nafsu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Ahmad Isaa ketika dihubungi semalam turut mengesahkan beberapa premis makanan di sekitar Segari, Pantai Remis dan Sitiawan, di sini, menjalankan kegiatan tidak bermoral itu disamping beroperasi sebagai restoran dan kedai kopi.
Ahmad berkata, kebanyakan wanita yang bekerja di premis berkenaan terdiri daripada warga Vietnam dan China berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan beberapa siri serbuan di beberapa premis berkenaan dan tidak menolak kemungkinan wujud kegiatan pelacuran di kawasan itu.
“Berdasarkan statistik, wanita warga Vietnam paling ramai ditahan di premis berkenaan atas pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Bagaimanapun, serbuan gagal mengesan pemilik premis, malah siasatan turut mendapati premis beroperasi tanpa lesen,” katanya.
Katanya dalam Ops Noda sepanjang Januari hingga Mei lalu, pihaknya berjaya menahan kira-kira 370 wanita warga Vietnam selain 37 warga Cina dan 30 orang warga Thailand.
Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti tidak bermoral berpusat di premis berkenaan terutama daripada golongan isteri di daerah ini.
0 Response to "Blog Berita Online: Kedai kopi ‘berahi’ sedia wanita untuk seks di Manjung"
Post a Comment