Kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang menderita penyakit kanser dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, meninggal dunia awal hari ini.
Adik Nur Ainul Hayah Mohd Shahrizam meninggal dunia pada 12.50 pagi di Hospital Kuala Lumpur. Ibu kanak-kanak itu, Khairul Hana Abdul Rashid, 35, berkata jenazah anaknya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Tanjung Medang, di Pekan, kira-kira 10 pagi.
"Saya redha dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Adik Nur Hayah ketika dilahirkan pada November 2009 adalah bayi normal, namun keadaan itu berubah mulai November tahun lalu selepas dia didapati menghidap penyakit kanser neuroblastoma.
Kanak-kanak itu mengalami bengkak badan dan lebam di bahagian mata.
Khairul Hana yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta terpaksa bercuti selama enam bulan untuk menjaga anaknya.
Pada 18 Jun lalu, Perdana Menteri mengarahkan adik Nur Ainul Hayah diberi segala bantuan sewajarnya.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Suhaimi Ibrahim, yang mewakili Najib turut melawat kanak-kanak itu selain menyampaikan bantuan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Datuk Suhaimi yang sudah banyak membantu kami selama ini," kata Khairul Hana.
0 Response to "Blog Berita Online: Nur Ainul Hayah Meninggal Dunia"
Post a Comment